7 Isu Kewangan Yang Perlu Kita Bincang Bersama Pasangan

Kepincangan kewangan dalam sesebuah keluarga adalah sebuah isu yang sering kita dengar. Masalah ini timbul oleh sebab beberapa faktor.

Contohnya,  penggunaan kad kredit untuk membeli barang yang tiada kena mengena dengan kegunaan keluarga, membuat pengeluaran dari insurans anak, dan membuat pinjaman dengan menggunakan nama pasangan sebagai penjamin tanpa berbincang terlebih dahulu.

Untuk mengatasi masalah tersebut, terdapat beberapa tajuk kewangan yang boleh dibincang bersama pasangan.

  1. Kesilapan Pengurusan Kewangan Yang Lalu

Adalah lebih baik untuk kita berterus terang dengan pasangan tentang kesilapan kewangan kita yang lalu.

Hal ini kerana ianya akan memudahkan pasangan untuk bersedia dengan segala risiko apabila terjadinya perkara tidak diingini berlaku terutamanya apabila sudah menjadi pasangan hidup.

Contohnya, jika kita mempunyai hutang PTPTN, ataupun terdapat individu yang menggunakan nama kita untuk proses peminjaman atau sebagai penjamin, dan sebagainya, pasangan kita perlu mengetahuinya untuk bersedia menghadapi sebarang isu yang akan datang.

2. Status Kewangan Terkini

Selepas bertunang atau berkahwin, kita mesti segera mulakan langkah dengan bercerita hal kewangan secara serius. Ini kerana ia bakal memberi kesan kepada keluarga pada masa hadapan.

Justeru kita boleh rancang beberapa perkara seperti pembelian rumah, kenderaan, aset lain, percutian, perbelanjaan harian, barangan dalam rumah, bil dan lain-lain.

Selain itu, kita juga  dapat bersama-sama membina kekayaan dan meningkatkan ‘net worth’ diri masing-masing.

Masing masing mungkin mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam beberapa bidang contohnya jika kita merupakan pakar dalam bidang hartanah, pasangan kita mungkin seorang yang mahir dalam bidang saham.


Oleh itu, perkongsian atau diskusi bersama tentang status kewangan terkini amatlah penting bagi pasangan terutamanya yang baru berkahwin atau bertunang.

3. Matlamat Kewangan Bersama Untuk Masa Depan

Kita dan pasangan mestilah mengadakan perbincangan tentang matlamat jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang. Dan ini termasuklah simpanan, perbelanjaan, persaraan, pelaburan, takaful, hibah dan juga penjagaan kesihatan.

Waktu ini juga adalah waktu terbaik untuk berbincang mengenai cahaya mata dan pengurusan kewangan berkaitan penjagaan harian anak dan juga pendidikan mereka.

Hal ini kerana majoriti ibu bapa pada masa ini kedua-duanya perlu bekerja untuk masa depan diri dan keluarga.

Jadi ramai di antara mereka yang memerlukan khidmat orang gaji ataupun ‘daycare’ untuk menguruskan makan minum dan keselamatan anak mereka sementara mereka  bekerja.

Selain daripada itu juga, perlu berbincang dengan pasangan sekiranya ada ahli keluarga yang memerlukan bantuan kewangan mahupun tempat tinggal agar sedikit sebanyak kita dan pasangan mungkin dapat membantu mereka.

4. Akaun Bank, Bersama atau Asing

Kebiasaannya, kebanyakan pasangan akan menggabungkan kedua-dua pendapatan mereka ke dalam satu akaun.

Namun begitu, kaedah tersebut tidaklah begitu praktikal bagi masing-masing yang mempunyai pendapatan sendiri.

Sebagai alternatif, kita dan pasangan boleh membuat satu akaun bank berasingan untuk gaji bulanan dan satu lagi akaun untuk perbelanjaan harian, percutian, dan juga pendidikan anak-anak.

Selain itu, haruslah diingat bahawa akaun yang berasingan bukanlah bermaksud kita menyembunyikan sesuatu, tetapi ianya sebagai ‘backup’ sekiranya terjadi hal-hal yang tidak dijangka pada masa hadapan.

5. Perangkaan Bajet Kewangan

Anggarkan bajet yang mencukupi dalam segala perkara yang ingin dibeli atau dibelanjakan.

Untuk tujuan ini, kita boleh adakan satu perbincangan bulanan bersama pasangan. Simpan semua resit perbelanjaan bulanan terutama apa yang dibeli untuk keperluan rumah.

Secara asasnya, perihal makan minum, bil, tempat tinggal, yuran persekolahan adalah amanah ketua keluarga.

Sebaliknya,si isteri pula boleh ambil alih perbelanjaan barangan lain seperti perabot, renovasi dan dekorasi, takaful, pelaburan, pakaian, perbelanjaan tambahan untuk anak seperti buku dan lain-lain.

Perkara ini amatlah disarankan agar dibuat sejak hari pertama selepas berkahwin.Bajet adalah merupakan satu elemen yang hebat kerana ia bakal menentukan halatuju kita dalam mencapai matlamat kewangan keluarga.

6. Tentukan Siapa Yang Mengurus Dan Membayar

Kita dan pasangan boleh melaksanakan tugas masing-masing dengan menentukan siapa yang akan jadi ketua dalam membayar segala bil, yang akan membuat bajet jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Cara yang terbaik adalah bergilir-gilir agar keduanya ambil tahu.

Namun begitu, ada juga segelintir suami yang biasanya lebih dominan dan akan sering menyelesaikannya seorang diri. Ini akan menimbulkan masalah kepada isteri sekiranya si suami tiba-tiba meninggal dunia .

Cara alternatif bagi isu ini adalah dengan membahagikan tugas di mana seorang akan mengurus segala bil berbayar seperti bil elektrik, bil air, cukai pintu, bil internet dan sebagainya ke dalam sebuah fail, dan seorang lagi pula akan selesaikan pembayaran.

7. Komunikasi

Perkara yang paling penting sekali dalam perbincangan tentang kewangan di antara pasangan adalah komunikasi.

Contohnya, perbincangan yang diadakan tidaklah perlu begitu formal seperti perjumpaan dengan seorang bos.

Kunci utama kita di sini adalah kita bersama orang yang kita sayang, jadi kita harus memberitahu sahaja apa yang kita beli, atau apa yang kita inginkan tetapi tidak mampu agar boleh diusahakan bersama.

Hal ini kerana isu kewangan adalah isu yang perlu sama-sama kita atasi dan kuasai.

Kesimpulannya, pengurusan kewangan adalah satu topik yang wajib dibincangkan sekiranya kita akan hidup atau telah hidup bersama pasangan dan masing-masing haruslah meletakkan kepercayaan kepada pasangan agar segala masalah dapat diatasi bersama.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *