6 Elemen Penting Yang Harus Disediakan Dalam Surat Perjanjian Rumah Sewa

Perjanjian rumah sewa adalah kontrak perjanjian antara tuan rumah dan di dalamnya terkandung tanggungjawab dan kewajiban setiap pihak sepanjang tempoh menyewa.

Kontrak ini wajib ditulis dan digunakan untuk melindungi hak tuan rumah dan juga penyewa melalui undang-undang dan syarat-syarat tertentu sepanjang tempoh penyewaan.

Selain itu, kontrak itu juga mengandungi semua maklumat rumah yang disewa, perabot, peralatan dan semua kemudahan yang termasuk dalam sewa.

Antara 6 perkara penting yang harus disediakan dalam surat perjanjian rumah sewa adalah :

  1. Maklumat lengkap rumah sewa

Maklumat yang disediakan janganlah sekadar maklumat ringkas sahaja. Pemilik rumah sewa haruslah meletakkan jenis rumah yang mahu disewakan serta lokasi rumah tersebut.

Sekiranya ia berstatus hartanah strata, mereka haruslah juga meletakkan nombor unit agar penyewa tidak akan keliru.

Pemilik rumah juga haruslah menyatakan sekiranya rumah yang ingin disewakan itu adalah sebuah rumah ataupun sebuah bilik sahaja.

Selain itu, pemilik rumah juga harus menyatakan keadaan semasa rumah tersebut seperti jumlah fasiliti yang disediakan seperti perabot, peralatan dapur dan lain-lain lagi.

 Untuk memudahkan proses, pemilik rumah boleh menyediakan satu inventori yang mengandungi senarai peralatan yang disediakan di dalam rumah tersebut


2. Harga sewa dan deposit

Pemilik rumah sewa haruslah menyatakan harga sewa yang jelas kepada penyewa, tarikh bayaran, dan juga kaedah pembayaran yang digunakan (wang tunai, deposit bank, atau perbankan online).

Selain itu, pemilik rumah juga haruslah meletakkan jumlah yang harus dibayar oleh penyewa untuk bayaran cengkeram, deposit sekuriti, dan deposit utiliti.

3. Tempoh penyewaan dan syarat pembaharuan

Pemilik rumah haruslah meletakkan tarikh yang tepat untuk kontrak ditandatangani, dan juga tarikh untuk penyewa masuk dan keluar dari rumah tersebut.

Untuk makluman tambahan, pemilik rumah juga boleh melanjutkan tempoh penyewaan dengan meletakkan klausa untuk menyambung penyewaan di dalam kontrak beserta syaratnya.

4. Tanggungjawab tuan rumah

Apabila perjanjian ditandatangani dan proses pindah masuk selesai, kedua-dua pemilik rumah dan penyewa haruslah melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Penyewa haruslah berkemampuan untuk mencari pendapatan secukupnya bagi membayar sewa pada tarikh yang ditetapkan tanpa sebarang masalah.

Selain itu, pemilik rumah sewa juga haruslah bertanggungjawab di atas keadaan rumah yang ingin disewakan serta memastikan sebarang cukai berkaitan hartanah akan dibayar pada pihak yang berkenaan.

Rumah tersebut juga haruslah mempunyai insuran dan bayaran insuran haruslah premium.

Akhir sekali, perabot dan peralatan yang disediakan di dalam rumah juga haruslah sentiasa berada di dalam keadaan yang terbaik bagi memuaskan hati penyewa,

5. Kewajiban penyewa

Bagi pihak penyewa pula, mereka haruslah menunjukkan sikap yang berhemah dan tidak melakukan sebarang kerosakan sesuka hati.

Antara tanggungjawab penyewa adalah membayar sewa dan bil utiliti tepat pada masanya, serta memastikan keadaan perabot, peralatan, dan dalaman rumah dijaga dengan baik dan rapi.

Sekiranya terdapat sebarang masalah atau kerosakan struktur rumah, penyewa haruslah memaklumkannya  kepada pemilik rumah, dan peraturan yang disediakan oleh pemilik rumah juga haruslah dipatuhi.

6. Peraturan dan larangan di rumah sewa

Sebarang peraturan dan larangan yang akan dikenakan kepada penyewa haruslah diletakkan terlebih dahulu di dalam kontrak supaya kedua-dua pihak sedia maklum tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan di dalam rumah tersebut.

Selain itu, penyewa haruslah mematuhi syarat kegunaan sewaan untuk kediaman sahaja dan kediaman sewa tidak boleh digunakan untuk :

  • Perniagaan komersial di dalam premis
  • Kegiatan yang tidak bermoral seperti perjudian atau dadah.
  • Sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perlindungan insuran harta benda
  • Melakukan sebarang renovasi/ubah suai di rumah tersebut

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *