8 Tips Hiasan Dalaman Rumah Bajet

Pada hari ini terdapat kediaman bersaiz kecil seperti rumah kos rendah dan rumah mampu milik di pusat bandar Kuala Lumpur dengan saiz kecil serendah 600 kaki persegi sudah semakin banyak.

Hiasan dalaman bukanlah menjadi agenda utama bagi pemilik atau penyewa kediaman jenis ini oleh sebab kos sara hidup yang tinggi dan pendapatan purata yang rendah, Namun, impian untuk memiliki kediaman yang dihias cantik bukanlah satu perkara yang mustahil

Proses menghias rumah demi mencapai hasil yang dikehendaki akan mengambil masa apatah lagi dengan bajet yang terhad.

Walaupun begitu, hasilnya amatlah memberangsangkan walaupun kadang kala kita perlu menunggu untuk masa yang agak lama.. Berikut adalah  tips hiasan dalaman untuk rumah bajet:

  1. Kenalpasti konsep hiasan

Terdapat pelbagai konsep hiasan yang boleh diaplikasikan untuk hiasan dalam rumah seperti kontemporari, minimalis, industri, scandinavian, tradisional, bali dan lain-lain.

Untuk ruang yang telah dipenuhi dengan perabot sedia ada, kita harus mengenal pasti elemen utama yang terdapat pada perabot tersebut seperti material, warna, corak, bentuk dan lain-lain.

Sekiranya kita ingin menggunakan perabot yang sedia ada untuk mengelakkan kos yang tinggi, maka pemilihan konsep perlu berdasarkan jenis dan elemen perabot sedia ada tersebut.

Walau apapun konsep yang dipilih, pasti ada cara mudah dan murah untuk mencapai hasil yang dikehendaki dengan menggunakan aksesori, warna, fabrik dan lain-lain. Apa yang penting ialah kreativiti !

2. Kenalpasti skim atau tona warna yang akan digunakan.

Setelah mengenal pasti konsep yang ingin digunakan, kita boleh mencari contoh hiasan dalaman untuk ruang yang berkenaan dan mengenal pasti skim warna yang digunakan di Pinterest.

Kita boleh mengenal pasti skim warna yang digunakan dengan memuat naik gambar tersebut ke ColorSnap.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel untuk dipadankan dengan perabot, aksesori atau fabrik yang sedia ada, kita boleh menggunakan skim dan tona warna yang “selamat” seperti putih atau kelabu.


Sebagai contoh yang mudah untuk konsep general, kita boleh pilih 3 warna neutral iaitu putih, beige atau kelabu dengan tona/shade yang berbeza seperti kelabu tua atau muda, 1 warna gelap/terang, dan 1 warna yang striking/contrast.

Untuk mencuba konsep dan skim warna yang dipilih, kita boleh menggunakan aplikasi floorplanner.com

Kita boleh meletakkan pelbagai jenis perabot dan perhiasan untuk mendapatkan gambaran dalam bentuk 2D dan juga 3D. Apa yang paling menarik adalah aplikasi ini mampu render imej 3D yang lebih berkualiti dengan kesan pencahayaan yang berbeza.

3. Pelbagaikan tona warna dinding

Penggunaan tona/shade warna berbeza bagi ruang/bilik yang sama akan mewujudkan suasana depth sensation. Ini akan memberikan sensasi sudut, bentuk, kedalaman dan ruang.

Penggunaan dwi-tona untuk ruang yang sama seperti putih dan kelabu akan membuatkan ruang tersebut lebih natural dan tidak seperti berada di dalam keadaan atau suasana yang membosankan.

4. Pilih dinding yang sesuai dan buat sendiri feature/accent wall.

Dinding yang pertama kali dilihat apabila melangkah masuk ke rumah atau ke mana-mana bilik adalah dinding yang paling sesuai untuk dijadikan feature wall.

Kita tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli wallpaper bagi mencapai efek yang diperlukan kerana ia boleh digantikan dengan pelbagai teknik mengecat.

Feature wall boleh dihasilkan dengan pelbagai teknik yang kreatif tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi seperti menggunakan bahan-bahan terpakai dan bahan semulajadi seperti batu sungai, pasir dan sebagainya.

5. Mulakan dengan perabot utama

Kita juga mengenal pasti jika perabot-perabot seperti sofa, meja makan dan almari boleh dicat semula atau dipasangkan sarung baru bagi memadankan skim warna yang telah dipilih sekiranya kita sudahpun sedia ada mempunyai perabot tersebut.

Selain itu, perabot-perabot second hand  juga boleh didapati secara murah dan dalam keadaan yang baik untuk dipadankan di Mudah, atau Facebook.

Kita juga boleh menjadikan warna dan rekabentuk perabot yang sedia ada sebagai fokal point konsep sekiranya menukar warna perabot adalah sesuatu yang mustahil dan kos terlalu mahal untuk membeli perabot baru.

Di samping itu, kita boleh bereksperimentasi dengan susunan dan layout yang berlainan dengan mengambil kesempatan untuk menyusun kembali perabot-perabot utama yang menjadi penghuni ruang tersebut.

6. Padankan & seimbangkan dengan rug/carpet dan langsir

Setelah mengenalpasti warna perabot, elemen utama yang terakhir untuk dipadankan/diseimbangkan dengan perabot, lantai dan dinding adalah langsir dan rug/carpet.

Kita boleh seimbangkan corak pada langsir dan rug/carpet dengan memerhatikan bentuk dan garis perabot dan lantai. Kita mungkin perlu mengeluarkan sedikit kos untuk jahitan langsir atau rug yang baru jika warna/corak yang sedia ada tidak sepadan.

Pemilihan rug selalunya menjadi langkah pertama untuk ruang yang masih kosong. Namun, untuk ruang yang sudah dipenuhi perabot, pemilihan warna dan corak rug sebaiknya corak plain /simple dan tona yang sepadan. Untuk ruang yang kecil pula, pilih rug yang berwarna lebih cerah supaya ruang tampak luas.

7. Ruang Penyimpanan

Selepas memadankan perabot utama dengan rak dan langsir, perabot sekunder yang perlu diberikan perhatian untuk rumah kecil adalah ruang penyimpanan seperti rak, kabinet, kotak, meja dan lain-lain.

Kita harus mempertimbangkan perabot yang mempunyai fungsi sampingan untuk menyimpan barang seperti storage bench, storage coffee table dan lain-lain.

Penggunaan wall shelves juga memberikan ruang tambahan di sebelah atas dinding yang jarang digunakan tanpa membuatkan ruang di sebelah bawah menjadi sempit.

Pelbagai idea DIY untuk ruang penyimpanan boleh didapati di internet untuk mengurangkan kos perbelanjaan.

8. Aksesori & pencahayaan.

Langkah terakhir adalah melengkapkan ruang-ruang dan perabot dengan aksesori-aksesori yang menepati konsep anda seperti frame gambar, cushion, bekas, pokok hiasan, lilin, jam dinding, raga, pasu, selimut, lampu dinding dan lain-lain.

Pemilihan aksesori yang tepat dapat menjimatkan kos tanpa perlu terlalu banyak diletakkan. Dengan sedikit aksesori yang tepat dan sesuai, ia mampu menyerlahkan kecantikan ruang tersebut.

Di samping itu, pencahayaan juga memainkan peranan penting untuk menyerlahkan kecantikan ruang.

Penggunaan cahaya yang tepat dapat memberikan impak yang sangat berbeza walaupun ruang dihias secara ringkas sahaja.

Di samping itu, terdapat banyak lampu LED yang mudah dan murah didapati tanpa perlu membuat wiring atau plaster ceiling yang menelan belanja yang tinggi pada masa kini.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *