
Kewangan peribadi adalah sesuatu yang perlu anda uruskan dengan bijak supaya perjalanan hidup anda lebih mudah dan untuk semua urusan berjalan lebih lancar.
Oleh itu, sama ada suka ataupun tidak, anda harus belajar untuk menguruskan kewangan peribadi dengan bijak agar anda tidak ditimpa dengan hutang dan pinjaman yang membebankan kelak di masa hadapan.
Berikut adalah 4 tips asas yang boleh anda contohi dalam menguruskan kewangan peribadi :
- Sediakan Bajet Anda

Sebuah bajet asas yang mudah akan mengandungi senarai perbelanjaan(bayar rumah sewa, bil utiliti, keperluan rumah dll) dan juga pendapatan(gaji, bonus dsb).
Apabila anda dapat menganggarkan jumlah perbelanjaan anda setiap bulan, anda boleh membuat keputusan untuk menetapkan bajet perbelanjaan setiap bulan ataupun meningkatkan pendapatan anda.

Selain itu, anda mestilah mengenal pasti apa itu pendapatan boleh guna atau ‘disposable income’ di mana ia adalah perbezaan jumlah pendapatan dengan jumlah perbelanjaan.
Jumlah tersebut akan menjadi jumlah yang anda masukkan dalam akaun simpanan atau membayar balik hutang.
Sebagai tips tambahan, anda boleh menggunakan teknik 50/30/20 iaitu sebuah budgeting rule yang dicadangkan oleh Elizabeth Warren.
2. Sediakan Tabung Kecemasan

Anda tidak akan mampu untuk menjangka apa yang akan terjadi di masa hadapan bahkan hari esok sekalipun.
Pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh yang tidak dapat dijangkakan tersebut contohnya, banjir kilat, kebakaran, kemalangan, dan sebagainya.
Apabila terjadinya perkara-perkara tersebut, sudah pastinya anda akan perlu menggunakan sejumlah wang yang banyak untuk menyelesaikannya.
Oleh sebab itu, anda haruslah memastikan tabungan kecemasan anda sentiasa mencukupi.
Salah satu cara yang boleh anda gunakan adalah dengan menyemak kembali bajet kewangan anda, lihat ‘disposable income’ anda, kemudian buat keputusan untuk tetapkan sedikit daripada jumlah tersebut untuk dimasukkan ke dalam tabung kecemasan.
Selain itu, anda harus pastikan bahawa anda mempunyai akaun asing bagi tabung kecemasan ini supaya ianya tidak digunakan untuk perbelanjaan harian .
Anda boleh menyalurkan sebahagian daripada gaji bulanan anda ke dalam akaun tersebut dan elakkan dari menggunakannya kecuali pada waktu kecemasan sahaja.
3. Mulakan Sebuah Pelaburan

Apabila anda sudah mempunyai bajet anda sendiri dan anda yakin dengan kawalan terhadap kewangan anda, anda sudah boleh mulakan sebuah pelaburan untuk mengukuhkan lagi kewangan peribadi anda.
Sekiranya anda masih ingat tentang ‘disposable income’, anda bolehlah menggunakannya bagi tujuan pelaburan setelah anda mempunyai lebihan selepas membelanjakannya untuk keperluan harian dan juga untuk tabung kecemasan.
Tidak kira sedikit maupun banyak, adalah lebih baik untuk anda memulakan pelaburan walau hanya bermodalkan RM 50 sekalipun.
Pelaburan yang paling ‘common’ atau biasa kita dengar adalah pelaburan KWSP sekiranya anda bekerja dengan sebuah syarikat. Kebiasaannya, sebahagian daripada pendapatan anda akan dimasukkan secara automatik setiap bulan ke dalam akaun KWSP oleh majikan anda.
Selain itu, anda juga boleh melabur bersama Amanah Saham Nasional berhad (ASNB). ASNB adalah salah satu pelaburan yang disarankan oleh kerana risikonya yang rendah dan pulangan dividennya yang tinggi dan konsisten.
Bagi anda yang tertanya-tanya mengapa pentingnya sebuah pelaburan? Jawapannya adalah pelaburan ini adalah salah satu cara untuk meningkatkan jumlah kewangan anda dan menggunakan wang tersebut setelah anda bersara atau bagi situasi yang penting.
Anda juga boleh mendapatkan pulangan yang lebih banyak dengan melakukan pelaburan di pasaran saham atau ‘stock market’. Namun begitu, anda haruslah berhati-hati kerana risikonya yang tinggi dan anda haruslah melengkapkan diri dengan pengetahuan asas sebelum memulakan sebarang pelaburan.

4. Elakkan Dari Penipuan

Penipuan adalah satu perkara yang sering kita dengar dalam dunia kewangan.
Walaupun ramai yang sudah pun tahu dan berhati-hati dengan sindiket penipuan yang dijalankan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, namun masih ramai juga yang terpedaya dengan tipu daya mereka.
Perkara yang paling penting yang harus diingat oleh anda ialah tiada jalan mudah untuk kaya tanpa risiko yang tinggi.
Oleh itu, sekiranya anda mendapat tawaran wang tunai yang banyak daripada mesej-mesej personal ataupun iklan dengan syarat-syarat tertentu, adalah lebih baik untuk anda abaikan sahaja demi kebaikan anda.
Kekayaan yang sebenar akan datang daripada hasil usaha.
Kesimpulannya, pengurusan kewangan peribadi adalah asas penting yang perlu anda pelajari supaya anda boleh ‘survive’ lebih lama terutamanya di zaman pandemik ini.
Akhir kata, semoga tips yang diberikan boleh membantu anda sedikit sebanyak dalam menguruskan kewangan anda.

