6 langkah yang perlu diambil untuk membersihkan rekod CCRIS

Laporan CCRIS adalah elemen terawal yang sangat penting untuk membolehkan anda memperolehi pinjaman perumahan.

Untuk pengetahuan anda, anda tidak akan disenarai hitamkan oleh CCRIS dan CTOS,  kerana kedua-dua institusi ini hanya berhak memberikan rekod kredit anda kepada institusi kewangan untuk tujuan penilaian kredit.

Hal ini kerana rekod negatif ini boleh menghalang seseorang itu daripada memperoleh kelulusan pinjaman daripada bank yang dimohon. Secara asasnya, antara sebab yang menyebabkan rekod CCRIS anda negatif adalah seperti yang berikut :

  • Pinjaman sedia ada yang tertunggak selama 3 bulan dan keatas
  • Akaun di bawah pemerhatian khas atau ‘Special Attention Account’ dalam CCRIS (bagi hutang yang telah dihapuskan oleh bank)
  • Tindakan undang-undang yang diambil oleh bank ke atas individu akibat pinjaman yang tidak berbayar

Berikut adalah garis panduan yang boleh anda gunakan untuk membersihkan rekod CCRIS anda.

  1. Mengumpulkan hutang anda dan melaksanakan pembayaran ansuran bulanan secara automatik

Penggabungan hutang adalah satu cara untuk menghimpunkan semua hutang anda kepada satu pinjaman peribadi baharu.

Hal ini kerana langkah tersebut boleh  memudahkan anda untuk memantau pembayaran pinjaman apabila anda hanya fokus untuk membayar satu ansuran bulanan sahaja.

Walau bagaimanapun, ianya boleh menjejaskan rekod CCRIS anda secara negatif sekiranya anda lewat membayar ansuran bulanan pinjaman secara berterusan.

Oleh sebab itu, amatlah disarankan supaya anda menjadualkan tarikh bayaran balik sejurus selepas tarikh gaji bulanan anda supaya anda tidak akan terlepas tarikh bayaran yang telah dijadualkan.

2. Jana pendapatan tambahan untuk bayar tunggakan pinjaman.

Dengan bantuan teknologi dan internet, anda boleh menjana pendapatan tambahan di samping mempunyai pekerjaan tetap dengan mudah.

Sebagai contoh, anda boleh mengaplikasikan kemahiran anda sebagai jurugambar, penulis, penyimpan kira-kira atau pereka grafik untuk memperoleh pendapatan tambahan sebagai pekerja bebas sambilan di laman web seperti Freelancing atau Fiverr.

Sekiranya, pekerjaan tambahan di hadapan komputer tidak menarik bagi anda, anda boleh memanfaatkan kenderaan anda sepenuhnya dan melakukan kerja sambilan sebagai pemandu Grab pada hujung minggu atau selepas waktu kerja.

Selain itu, anda boleh menjual barang-barang yang tidak mahu digunakan lagi dan masih boleh digunakan seperti buku-buku, pakaian, ataupun perabot dengan mengiklankannya di Carousell, Mudah, ataupun Lelong.


3. Utamakan jumlah pinjaman yang tertunggak serta kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu

Utamakan pendapatan anda untuk menyelesaikan sebarang pinjaman anda yang tertunggak serta elakkan dari membelanjakannya untuk perkara-perkara yang tidak perlu.

Walaupun anda mempunyai jumlah tunggakan yang banyak, anda haruslah mencuba untuk mengamalkan sikap berjimat-cermat untuk satu tempoh agar anda mampu untuk menyelesaikan bayaran tertunggak pada waktunya.

4. Memohon pinjaman koperasi bagi menyelesaikan tunggakan pinjaman

Sekiranya anda mempunyai jumlah tunggakan pinjaman yang agak besar, anda boleh memohon pinjaman koperasi bagi menyelesaikan tunggakan hutang.

Dengan cara ini, anda boleh menghapuskan hutang senarai hitam ini daripada rekod CCRIS anda.

Dalam sesetengah kes, kadar faedah untuk pinjaman koperasi adalah lebih rendah daripada pinjaman peribadi yang tidak dijamin oleh bank komersial.

5. Melaksanakan perbincangan jadual alternatif untuk proses pembayaran balik pinjaman

Sekiranya gaji semasa anda tidak dapat menampung bayaran balik pinjaman anda secara bulanan, bincang dengan bank anda untuk menjadualkan semula bayaran balik tersebut.

Namun begitu, anda haruslah memastikan bahawa anda mampu untuk mengikut jadual tersebut.

Pihak bank mungkin tidak akan bersetuju, namun begitu anda tidak akan rugi sekiranya anda bertanya mengenainya, terutamanya jika anda boleh menunjukkan komitmen dan keupayaan anda untuk membuat pembayaran berdasarkan tempoh yang telah dijadualkan semula.

6. Melatih diri untuk berdisiplin dari segi kewangan sepanjang masa

Cara yang anda boleh lakukan untuk melatih disiplin kewangan anda adalah dengan hanya meminjam jumlah yang anda benar-benar perlukan dan serta mampu membayarnya.

Selain itu, anda haruslah membayar pinjaman tepat pada masanya secara konsisten serta menyemak laporan CCRIS anda dari masa ke masa.

Anda boleh semak rekod kredit individu secara percuma dengan melayari portal eCCRIS, mengunakan kios CCRIS di BNMLINK Kuala Lumpur, Pejabat BNM dan cawangan-cawangan AKPK.

Kesimpulannya, mengekalkan rekod CCRIS yang baik adalah sebuah komitmen yang memerlukan jangka masa yang panjang. Oleh itu, adalah penting bagi anda untuk berbuat demikian supaya anda boleh menikmati kewangan yang fleksibel serta memenuhi impian anda untuk membeli rumah, mengembangkan perniagaan, dan banyak lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *